Bateri pemancar pun kena curi
Curi bateri pemancar
Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.com.my
KLANG: Kedudukan menara pemancar telekomunikasi yang agak jauh dari kediamaan dimanfaat sepenuhnya geng curi bateri apabila mereka menjadikan kawasan terbabit sebagai sasaran utama mereka.
Difahamkan geng yang bergiat aktif sejak beberapa bulan lalu itu sudah melakukan 50 kes curi bateri di menara pemancar di sekitar Lembah Klang dan beberapa negeri lain membabitkan kerugian lebih RM1 juta.
Sejurus menerima laporan daripada pemilik menara pemancar, polis melakukan intipan sebelum membuat 12 tangkapan termasuk lima dipercayai suspek utama, kira-kira jam 5 pagi, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop, berkata tangkapan pertama dibuat ke atas dua lelaki menaiki sebuah lori di Lorong Gopeng Off Jalan Goh Hock Huat, sebelum membuat dua lagi serbuan di Taman Sentosa dan Kampung Raja, di sini.
[Ad]
“Di Taman Sentosa kita menahan seorang lelaki berumur 30-an dipercayai turut terbabit dalam kejadian ini.
[Ad]
“Hasil soal siasat ke atas mereka sepasukan polis menyerbu sebuah pusat pelupusan besi buruk di Kampung Jawa, di sini sebelum menahan sembilan lelaki bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Sejurus menyamun bateri, geng terbabit akan menjual kepada peniaga besi buruk untuk dileburkan menjadi tembaga atau dijual di pasaran gelap.
Daripada 50 kes yang dilaporkan, 11 kes berlaku di Klang, dikuti Subang Jaya (10 kes) Petaling Jaya (sembilan kes), Shah Alam (enam kes), Hulu Selangor (empat kes), Gombak dan Kuala Selangor (tiga kes) dan masing-masing satu di Sentul, Nilai dan Mantin, Negeri Sembilan dan Raub, Pahang.
Dengan tertangkapnya kesemua suspek terbabit, polis turut merampas pelbagai peralatan termasuk pemotong besi, puluhan kunci dipercayai digunakan untuk memasuki menara pemancar terbabit.
Mohamad berkata, seorang daripada lima lelaki yang ditahan itu bekas kontraktor memotong rumput di kawasan pencawang telekomunikasi.
“Berkemungkinan dia mengetahui selok-belok di menara pemancar terbabit sebelum berpakat dengan rakannya untuk mencuri bateri di situ.
“Satu bateri dianggarkan bernilai RM3,000 dan setiap menara pemancar mempunyai antara 24 hingga 30 bateri,” katanya dan polis masih mengesan dua lagi rakan suspek bagi membantu siasatan.
Kebanyakan suspek yang diberkas itu mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau seperti samun, peras ugut dan penyalahgunaan dadah.
Semua suspek ditahan reman bermula semalam dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan curi pada waktu malam.
Saturday/Setempat/20090131
No comments yet.