Pc Base

Masa Untuk Berubah

Denda maksima kesalahan Tak pakai tali pinggang

Saman maksimum
Oleh NAZARALI SAERIL
nazarali@hmetro.com.my

SHAH ALAM: Empat penumpang kenderaan yang tidak memakai tali pinggang keledar bakal berdepan saman maksimum sehingga RM8,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali selepas penguatkuasaan pemakaian tali pinggang berkenaan bermula 1 Januari depan.

Ini kerana, hukuman berkenaan boleh dikenakan mengikut Akta Pengangkutan Jalan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terhadap individu jika sabit kesalahan atau masih ingkar memakai tali pinggang keledar.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan, dalam masa sama memaklumkan, aspek saman atau kompaun adalah perkara kedua, sebaliknya keselamatan pengguna serta penumpang kenderaan perlu dijadikan fokus utama dalam penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar.

“Bermula 1 Januari ini, pemilik kenderaan diminta memasang tali pinggang keledar bahagian penumpang belakang kenderaan masing-masing demi keselamatan.

[Ad]

“JPJ memberi tempoh tiga tahun untuk laksanakan pemasangan berkenaan. Tempoh panjang itu diberi untuk kemudahan pengguna dan lebih baik jika ia dipasang secepat mungkin,” katanya selepas operasi khas JPJ di Plaza Tol Batu Tiga, di sini, semalam.[Ad]

Turut hadir Pengarah Penguatkuasa JPJ Selangor, Salim Parlan serta Ketua Siasatan Trafik Bukit Aman, Deputi Superintendan Zaba Abd Rahman.

Menurut Solah, berikutan penguatkuasaan berkenaan, JPJ hanya akan mengeluarkan kompaun RM300 bagi enam bulan pertama 2009 bagi mereka yang ingkar memakai tali pinggang keledar.

“Selepas tempoh berkenaan, mana-mana individu yang tidak memakai tali pinggang keledar di dalam sesebuah kenderaan, tidak kira pemandu atau penumpang, akan dikenakan tindakan mahkamah dengan denda mencecah RM2,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

“Kami berharap pengguna faham hasrat murni kerajaan yang mahu mengurangkan risiko kematian atau kecederaan parah,” katanya.

Beliau berkata, penguatkuasaan pemasangan serta pemakaian tali pinggang keledar di bahagian penumpang belakang adalah fasa kedua selepas fasa pertama diwajibkan terhadap pemandu serta penumpang sebelah pemandu pada April 1979.

Katanya, berdasarkan kajian pada 2007, daripada lebih 2,000 kemalangan pada tahun itu, sehingga 50 peratus kematian dan kecederaan membabitkan penumpang bahagian belakang kenderaan persendirian boleh dikurangkan jika memakai tali pinggang keledar.

“Ia jumlah besar dan kita harap pengguna utamakan keselamatan diri serta penumpang dengan memasang tali pinggang,” katanya.

Bagi membantu pemilik kenderaan, satu Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani pengeluar kereta seperti Proton, Perodua dan Honda dengan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) bagi memasang tali pinggang keledar bahagian penumpang secara percuma.

Menurut Solah, dengan MoU berkenaan, 697,000 pengguna ketiga-tiga jenama kenderaan berkenaan bakal mendapat manfaat.

“Selepas kajian, semua kenderaan dari ketiga-tiga jenama berkenaan yang dikeluarkan sejak 1 Januari 1995 layak menerima manfaat berkenaan dan ia boleh dipasang di mana-mana pusat servis kenderaan itu.

“Kenderaan yang tidak perlu dipasang dengan tali pinggang keledar bahagian penumpang belakang adalah yang tidak didaftarkan sebelum 1 Januari 1995, teksi, kereta sewa serta kenderaan lebih lapan tempat duduk, tidak termasuk tempat duduk pemandu,” katanya.

Selain itu, kenderaan lain yang tidak perlu dipasang tali pinggang keledar ialah kenderaan barangan yang mempunyai had muatan barangan melebihi 3.5 tan dan kenderaan didaftarkan selepas 1 Januari 1995 tetapi tidak dilengkapi penambat binaan dalam (alat yang boleh digunakan untuk memasang tali pinggang keledar).

http://www.hmetro.com.my/Sunday/Setempat/20081228090239/Article/index_html

January 1, 2009 - Posted by TetikuS | Uncategorized | | 1 Comment

1 Comment »

  1. Banyak sungguh peraturan dikeluarkan utk menjadikan pemandu di malaysia supaya jadi berhemah ttp kelihatannya kadar kemalangan terus meningkat. Selain faktor fizikal kenderaan, jalanraya, kecuaian pemandu, pengguna jalanraya lain, haiwan berkeliaran, tanda arah yg mengelirukan, cuaca, tumpahan minyak, pengaruh alkohol/dadah, kesihatan/fitness dan senggaraan….ternyata denda/kompaun yg tinggi turut membuat pengguna berasa stress.

    Bagi kebanyakan pengguna jalanraya Malaysia yang berpendapatan kecil dan sederhana, RM2000 dizaman meleset boleh memberi kesan kepada kehidupan dan menjadikannya laksana satu tragedi yg “miserable” yg bukan sekadar membuatnya phobia, tetapi mengundang kepada rentetan masalah lain yang boleh sampai bercerai berai keluarga dan anak-anak. Biarlah undang-undang dilaksanakan untuk mendidik dan bukan untuk mendera.

    Memanggil pemandu/pengguna jalanraya untuk dikaunseling atau denda dengan arahan mengikuti kelas kesedaran/ khidmat masyarakat lebih bermakna dan praktikal daripada menimbulkan keadaan tegang sebegitu. Hakikatnya tiada siapa mahukan kemalangan di mana sahaja dan sebolehnya tidak juga mahu di kompaun untuk mengurangkan sakunya melainkan org yang terlebih kaya dan sudah hilang arah kehidupan.

    Seorang Pengutkuasa, Penggubal Undang-Undang maupun Ketua Pengarah sekalipun cuba mengelak daripada kemalangan tetapi itu semua bukan kuasa kita untuk menentukannya…..dan nyatanya kita semua pun tidak redha untuk didenda sebegitu melainkan kepada org yang benar-benar degil dan tegar tidak mau patuh kepada undang-undang. Bagi kebanyakan rakyat biasa yang majoriti, mereka adalah rakyat yang baik dan bukan kategori manusia yang bebal dan tak punya hati dan perasaan.Harapnya saranan Kerajaan agar rakyat menjaga kesihatan mental dan fizikal tidak akan terganggu pula dengan tekanan seperti ini. Kita hanya boleh merancang, kemampuan kita untuk merubahpun terbatas dan bukan mutlak dalam semua hal.

    Sekian & terima kasih.

    Comment by rosli | February 27, 2009 | Reply


Leave a comment